Skip to main content

ISTILAH-ISTILAH ASAS BERKAITAN TAKAFUL

Terdapat beberapa istilah yang sentiasa digunapakai apabila membincangkan tentang takaful. Namun bagi mereka yang di luarbidang takaful, penggunaan istilah-istilah ini sudah pasti mengelirukan mereka terutamanya buat mereka yang tidak mempunyai asas Syariah yang mana isitilah istilah ini mungkin sesuatu yang amat janggal dan tidak pernah didengar. 


1. TAKAFUL

Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 (IFSA 2013) mengistilahkan takaful sebagai “sesuatu perkiraan yang berasaskan pertolongan secara bersama yang di bawahnya peserta takaful bersetuju menyumbang kepada sesuatu kumpulan wang sama yang menyediakan manfaat kewangan bersama yang kena dibayar kepada peserta takaful itu atau kepada benefisiari pada masa berlaku sesuatu kejadian yang dipersetujui terdahulu.’

Secara ringkasnya, takaful adalah pelan perlindungan berdasarkan prinsip Syariah. Dengan mencarum sejumlah wang yang sebahagiannya akan disalurkan ke dalam dana takaful atas dasar tabarru’ (derma), seseorang itu memeterai kontrak (aqad) bagi membolehkannya menjadi seorang peserta dalam pelan takaful tersebut dengan bersetuju untuk saling membantu antara satu sama lain, sekiranya salah seorang peserta mengalami kerugian yang ditetapkan.

 

2. TABARRU’

Tabarru’ membawa maksud menyumbang dengan rela atau menyediakan khidmat bakti secara ikhlas.

Dalam konteks takaful, tabarru’ merujuk kepada peserta mendermakan sebahagian atau keseluruhan wang sumbangan yang dibayar semasa menyertai pelan atau skim takaful dengan tujuan untuk digunakan bagi membantu rakan peserta yang dibebani kehilangan atau kerugian berikutan dilanda musibah tertentu.

Oleh kerana tabarru' dikategorikan sebagai kontrak satu pihak yang tidak memerlukan sebarang pertukaran atau timbal balas, aplikasi tabarru' di dalam takaful telah menghapuskan unsur-unsur gharar, riba dan maisir yang menyebabkan insurans konvensional difatwakan haram. Unsur-unsur ini akan dijelaskan seperti di bawah.

 

3. RIBA

Riba menurut bahasa bererti ‘tambahan’.

Maksud riba secara ringkas adalah sebarang tambahan antara nilai barang yang diberikan dengan nilai barang yang diterima.

Riba boleh terjadi apabila berlaku tambahan dalam kuantiti semasa pertukaran barangan ribawi (iaitu emas, perak, gandum, barli, kurma dan garam). Riba juga berlaku apabila wujudnya tambahan atas jumlah pokok hutang akibat penangguhan tempoh, sama ada penambahan itu dijanjikan oleh peminjam atau ditetapkan oleh pemberi pinjam ketika memeterai kontrak atau apabila berlakunya pelanggaran kontrak.

Pada dasarnya, Islam tidak membenarkan sebarang transaksi yang melibatkan riba, sebagaimana firman Allah s.w.t. dalam Surah Al-Baqarah ayat 276: “Allah telah menghalalkan berjual beli dan mengharamkan riba.”

 

4. GHARAR

Gharar merujuk kepada elemen ketidakpastian di dalam sesuatu kontrak yang menyebabkan ianya kabur dan tidak pasti.

Gharar berlaku di dalam sesuatu transaksi apabila terdapatnya ketidakpastian atau kurangnya maklumat tentang keadaan barang ataupun objek sehingga menyebabkan keraguan pada kewujudan barang, kuantiti dan juga harga. Ia turut berkait dengan masa penyerahan barang terutamanya ketika wang sudah dibayar tetapi masa untuk diserahkan barang tidak diketahui.

Contoh klasik berkaitan gharar ialah seperti membeli atau memajak buah yang masih dalam bentuk bunga atau putik, kerana kewujudan buah itu masih belum dapat dipastikan.

 

5. MAISIR

Gharar dan maisir (perjudian) mempunyai kaitan yang amat rapat. Ini bererti jika sesuatu transaksi itu mengandungi unsur gharar maka dengan sendirinya unsur judi turut ada.

Maisir menurut bahasa bermaksud memperoleh sesuatu dengan sangat mudah tanpa kerja keras atau mendapat keuntungan tanpa bekerja.

Menurut istilah, maisir merujuk kepada suatu transaksi yang dilakukan oleh dua pihak untuk pemilikan suatu benda yang menguntungkan satu pihak dan merugikan pihak lain dengan cara mengaitkan transaksi tersebut dengan suatu tindakan atau kejadian tertentu.

Islam melarang semua bentuk urusniaga di mana keuntungan kewangan diperolehi hanya berdasarkan nasib dan bukannya dengan usaha gigih untuk mendapatkannya.

 

6. WAKALAH

Wakalah diambil daripada perkataan bahasa Arab yang membawa maksud perwakilan. Dari segi pengertian syarak, ia merujuk kepada kontrak di mana satu pihak menyerahkan sesuatu urusan yang boleh diwakilkan mengikut hukum syarak kepada pihak lain ketika pihak yang pertama itu masih hidup. Perwakilan boleh dilaksanakan dengan pembayaran upah atau tanpa upah.

Dalam konteks takaful, para peserta takaful akan mewakilkan aspek pengurusan dana serta skim takaful kepada syarikat pengendali takaful. Sebagai balasan, pengendali ta­ka­ful berhak untuk menerima upah tertentu hasil daripada pemberian tenaga kerja dan kepakaran di dalam mengendalikan dana serta skim takaful tersebut. Upah ini disebut sebagai ‘fi wakalah’.

 

7. WAKALAH BI AL-ISTITHMAR

Wakalah bi al-istithmar ialah kontrak perwakilan bagi tujuan pelaburan.

Dalam konteks pelan takaful yang mengaplikasikan kontrak ini, pengendali takaful bertindak sebagai agen kepada para peserta dalam menjalankan urusan pelaburan berdasarkan mandat yang dipersetujui. Para peserta akan dikenakan bayaran sebagai upah atas kerja-kerja berkaitan pelaburan yang dilaksanakan oleh pengendali takaful bagi pihak peserta. Keuntungan pelaburan akan dimiliki sepenuhnya oleh peserta, melainkan peserta bersetuju untuk memberikan fi prestasi kepada pengendali takaful sekiranya keuntungan yang diperolehi melebihi daripada jumlah keuntungan yang diramalkan.

 

8. MUDHARABAH

Mudharabah adalah akad pelaburan di mana kerjasama dalam satu-satu urus niaga antara pihak yang mengeluarkan modal dengan pengusaha yang menjalankan urus niaga itu dimeteraikan dengan perjanjian berkongsi keuntungan. Sebarang keuntungan akan dibahagikan di antara kedua-dua pihak mengikut peratusan dipersetujui.

Namun, jika berlaku kerugian, keseluruhan kerugian kewangan akan ditanggung oleh pihak yang mengeluarkan modal manakala pengusaha pula tidak mendapat sebarang ganjaran bagi usaha dan kerja yang telah dilaksanakan.

 

9. QARD

Qard secara ringkas merujuk kepada pinjaman, iaitu memberikan harta kepada pihak yang memanfaatkan harta tersebut dan dikembalikan gantian yang sama jenis dengannya. Dalam Islam, penggantian kembali barang tersebut kepada pemilik asal hendaklah dibuat dalam nilai yang sama tanpa sebarang penambahan.

Dalam konteks takaful, konsep qard seringkali diaplikasikan melalui pemberian qard daripada dana pemegang saham berbentuk pinjaman tanpa faedah ke dalam dana risiko peserta sekiranya berlaku kekurangan aset dalam dana risiko peserta untuk memenuhi keperluan liabiliti dana tersebut, termasuk peruntukan rizab yang ditetapkan.

 

10. HIBAH

Hibah merupakan kalimah Arab yang memberi maksud ‘pemberian’. Di sudut bahasa, hibah adalah pemberian secara sukarela yang tidak didahului oleh tuntutan hak, dan barang yang diberikan itu mempunyai kegunaan bagi penerima.

Mengikut istilah syarak, hibah merupakan suatu kontrak pemberian harta yang dilakukan oleh seseorang secara sukarela kepada seseorang yang lain ketika tempoh hidupnya tanpa sebarang balasan.

Dalam konteks takaful, manfaat Takaful boleh dihibahkan kerana ia merupakan hak para peserta dan status hibah yang digunakan dalam pelan takaful tidak akan berubah menjadi wasiat, kerana jenis hibah yang digunakan ialah hibah bersyarat di mana hibah yang dibuat ialah tawaran kepada penerima untuk tempoh masa yang tertentu. Jika peserta masih hidup semasa tempoh matang sijil, manfaat Takaful akan dimiliki oleh peserta. Akan tetapi, jika peserta meninggal dunia sebelum tempoh matang, maka hibah akan berkuatkuasa.


Sumber: MAIS, AIA

Comments

Popular posts from this blog

APA ITU TAKAFUL?

KONSEP TAKAFUL Takaful berasal dari perkataan Arab - kafala bermaksud saling menjamin. Suatu skim yang berdasarkan prinsip ta`awun, jamin menjamin atau bantuan bersama. Ia memberikan perlindungan bersama aset dan harta serta menawarkan perkongsian risiko bersama sekiranya salah seorang ahlinya mengalami kerugian.   PRINSIP/ASAS TAKAFUL Secara umumnya, Takaful terdiri daripada 3 asas utama: 1. Saling bertanggungjawab 2. Saling bekerjasama/tolong-menolong 3. Saling melindungi   1. Saling bertanggungjawab Tanggungjawab antara pihak pengendali Takaful (menguruskan sumbangan/dan) dan peserta takaful (memberikan sumbangan) 2. Saling Bekerjasama/tolong-menolong Prinsip asas dalam Takaful adalah ta’awun (tolong-menolong), para peserta saling bertabarru' (menyumbang) ke dalam satu tabung dana takaful untuk keperluan yang khusus. 3. Saling melindungi Peserta Takaful bersetuju berkongsi tanggungjawab dan bersetuju membantu satu sama lain apabila salah seorang pe...

QARD AL-HASAN DALAM PERBANKAN ISLAM

QARD AL-HASAN DALAM PERBANKAN ISLAM Qard secara bahasanya bermaksud potong, iaitu seseorang itu memotong sebahagian daripada pemilikannya untuk dipinjamkan kepada orang yang mahu meminjam, manakala hasan pula membawa maksud sesuatu yang baik. Gabungan Qardu al-Hasan bermaksud pinjaman yang baik. Ianya juga juga di sebut sebagai beautiful loan , yang secara terminologinya dipetik dari    enam tempat yang berbeza dalam al-Quran. Surah-surah tersebut adalah surah al-Baqarah: ayat 245, surah al-Maidah: ayat 12, surah al-Hadid: ayat 11 dan 18, Surah al-Taghabun: ayat 17 dan surah al-Muzammil: ayat 20 yang merupakan ayat-ayat berkenaan Qard. [1] Secara umumnya Qard merupakan manifestasi keprihatinan seseorang untuk melakukan kebajikan dengan membantu saudaranya    yang berada dalam kesempitan    khususnya dalam aspek kewangan.   Oleh    itu, peminjam hanya perlu membayar jumlah wang yang dipinjam sahaja tanpa dikenakan faedah. Konsep  ...