Rata rata pada hari ini masih ramai yang mengambil remeh soal nafkah. Mereka mengambil ringan akan perkara asas dalam sesebuah kehidupan bekeluarga yang dibina. Sebaik sahaja terikatnya tali pernikahan antara suami dan isteri, maka beberapa perkara adalah menjadi tanggunghjawab antara suami dan isteri. Pensyariatan Islam telah menggariskan beberapa perkara tersebut antaranya adalah nafkah, Firman Allah s.w.t :
وَٱلۡوَٰلِدَٰتُ يُرۡضِعۡنَ أَوۡلَٰدَهُنَّ حَوۡلَيۡنِ كَامِلَيۡنِۖ لِمَنۡ أَرَادَ أَن يُتِمَّ ٱلرَّضَاعَةَۚ وَعَلَى ٱلۡمَوۡلُودِ لَهُۥ رِزۡقُهُنَّ وَكِسۡوَتُهُنَّ بِٱلۡمَعۡرُوفِۚ لَا تُكَلَّفُ نَفۡسٌ إِلَّا وُسۡعَهَاۚ لَا تُضَآرَّ وَٰلِدَةُۢ بِوَلَدِهَا وَلَا مَوۡلُودٞ لَّهُۥ بِوَلَدِهِۦۚ وَعَلَى ٱلۡوَارِثِ مِثۡلُ ذَٰلِكَۗ فَإِنۡ أَرَادَا فِصَالًا عَن تَرَاضٖ مِّنۡهُمَا وَتَشَاوُرٖ فَلَا جُنَاحَ عَلَيۡهِمَاۗ وَإِنۡ أَرَدتُّمۡ أَن تَسۡتَرۡضِعُوٓاْ أَوۡلَٰدَكُمۡ فَلَا جُنَاحَ عَلَيۡكُمۡ إِذَا سَلَّمۡتُم مَّآ ءَاتَيۡتُم بِٱلۡمَعۡرُوفِۗ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ وَٱعۡلَمُوٓاْ أَنَّ ٱللَّهَ بِمَا تَعۡمَلُونَ بَصِيرٞ ٢٣٣
Mafhumnya : Para ibu hendaklah menyusukan anak-anaknya selama dua tahun penuh, iaitu bagi yang ingin menyempurnakan penyusuan. Dan kewajiban ayah memberi makan dan pakaian kepada para ibu dengan cara yang makruf. Seseorang tidak dibebani melainkan menurut kadar kesanggupannya. Janganlah seorang ibu menderita kesengsaraan karena anaknya dan juga seorang ayah kerana anaknya, dan waris pun berkewajiban demikian. Apabila keduanya ingin menyapih (sebelum dua tahun) dengan kerelaan keduanya dan permusyawaratan, maka tidak ada dosa atas keduanya. Dan jika kamu ingin anakmu disusukan oleh orang lain, maka tidak ada dosa bagimu apabila kamu memberikan pembayaran menurut yang patut. Bertakwalah kepada Allah dan ketahuilah bahawa Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan.
(Surah Al-Baqarah 2 : 233)
NAFKAH MENURUT UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM
Peruntukan mengenai nafkah telah diperuntukkan didalam Bahagian VI Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-WilayahPersekutuan) 1984 (Akta 303). Selain itu terdapat juga Enakmen Negeri yang berkuatkuasa mengikut negeri.
Seksyen 59 memperuntukkan Mahkamah Syariah berbidang kuasa dan boleh memerintahkan seseorang lelaki membayar nafkah kepada isteri atau bekas isterinya. Di dalam islam, pemberian nafkah oleh suami kepada isteri boleh gugur sekiranya sekiranya isteri telah disahkan nusyuz oleh Mahkamah. Pengesahan isteri nusyuz boleh disahkan melalui Seksyen 59(2) iaitu:
(a) Apabila dia menjauhkan dirinya dari suaminya.
(b) Apabila dia meninggalkan rumah suaminya bertentangan dengan kemahuan suaminya, iaitu
(c) Apabila dia enggan berpindah bersama suaminya ke satu rumah rumah atau tempat lain.
Apabila berlakunya tiga keadaan ini maka mahkamah boleh atas budi bicara mengeluarkan perintah nusyuz terhadap isteri. Dalam pada itu, suami juga wajib memberi nafkah dibawah tanggungannye selagi mana tidak ada perintah yang membatalkan nafkah. Namun sekiranya isteri kembali bertaubat dan menurut kemahuan dan perintah sah suaminya, maka isteri itu tidaklah lagi nusyuz seterusnya layak kembali diberikan nafkah keatasnya sepertimana yang diperuntukkan didalam Seksyen 59(3) Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 (Akta 303).
Seksyen 60, Mahkamah boleh memerintahkan mana-mana orang yang bertanggungan tentang hal itu mengikut Hukum Syarak, supaya membayar nafkah kepada seorang lain jika dia tidak berupaya, sepenuhnya atau sebahagiannya, daripada mencari pendapatan oleh sebab kerosakan otak atau jasmani atau tidak sihat dan Mahkamah berpuas hati bahawa memandang kepada kemampuan orang yang pertama tersebut itu adalah munasabah memerintahkan sedemikian.
Berdasarkan seksyen 61, dalam menentukan jumlah nafkah yang perlu diberikan, mahkamah akan menilai kemampuan dan keperluan pihak pihak itu.
Hak tuntutan nafkah isteri daripada suami akan terhenti dalam dua keadaan yang telah diperuntukkan di dalam Seksyen 63 akta 1984 seperti berikut:
(1) Hak bagi seorang isteri yang telah bercerai untuk menerima nafkah daripada suaminya yang dahulu dibawah sesuatu perintah Mahkamah hendaklah terhenti apabila tamat tempoh iddah atau apabila isteri itu menjadi nusyuz
(2) Hak isteri yang telah diceraikan untuk menerima pemberian daripada bekas suaminya di bawah sesuatu perjanjian hendaklah terhenti di atas perkahwinan semula isteri itu.
Menurut seksyen ini, isteri akan terhenti dan tidak layak mendapat nafkah, namun mahkamah pada bila-bila masa boleh mengubah perintah nafkah, atau boleh pada bila-bila masa membatalkan sesuatu perintah nafkah yang masih berkuat kuasa, jika Mahkamah berpuas hati, bahawa perintah itu telah diasaskan atas apa-apa salah nyata atau kesilapan fakta atau jika sesuatu perubahan material telah berlaku tentang hal keadaan melalui Seksyen 66 (Akta 303).
Bagi tuntutan nafkah isteri dan anak yang tertunggak maka, pihak yang menuntut boleh menutut melalui Seksyen 69:
(1) Tunggakan nafkah tanpa jaminan boleh dituntut sebagai suatu hutang daripada pihak yang mungkir itu dan jika tunggakan itu terkumpul kena dibayar sebelum suatu perintah penerimaan dibuat terhadap pihak yang mungkir itu, tunggakan itu boleh dibuktikan dalam kebankrapannya dan, jika tunggakan itu terkumpul kena dibayar sebelum dia mati, tunggakan itu hendaklah menjadi suatu hutang yang kena dibayar daripda harta pusakanya.
(2) Tunggakan nafkah yang tanpa jaminan yang terkumpul kena dibayar sebelum orang yang berhak kepadanya itu mati boleh dituntut sebagai suatu hutang oleh wakil diri orang itu disisi undang-undang orang itu.
Kewajipan membayar nafkah kepada isteri dikira apabila berlakunya akad pernikahan selama mana isteri masih taat kepada suami iaitu isteri tidak disabitkan nusyuz oleh mana-mana Mahkamah Syariah. Sekiranya suami gagal menyediakan nafkah kepada isteri sedangkan isteri taat dan menjaga maruah suami, tuntutan nafkah atau tuntutan tunggakan nafkah boleh dibuat di mana-mana Mahkamah Syariah tempat pihak-pihak bermastautin. Isteri perlu membuktikan kepada Mahkamah bahawa sepanjang pernikahan tersebut, suami telah gagal menyediakan nafkah. Pihak isteri perlu sedar akan hak-hak mereka manakala pihak suami perlu lebih arif dan peka tentang kewajipan dan tanggungjawab suami kepada isteri.
Berkenaan dengan pemberian nafkah anak telah dinyatakan di dalam Seksyen 72-80 Akta Undang-Undang Keluarga Islam 1984 (Akta 303). Kewajipan seorang bapa sebagai orang yang paling layak menanggung nafkah anaknya sama ada anak itu berada dalam jagannnya atau dalam jagaan seseorang lain telah termaktub di bawah seksyen 72 (Kewajipan menanggung nafkah anak). Nafkah disini termasuklah tempat tinggal, pakaian, makanan perubatan, dan pelajaran dan sebagaimana yang munasabah memandang kepada kemampuan dan taraf kehidupan atau dengan membayar kosnya. Seksyen 72(2) menyatakan jika bapa kanak-kanak tersebut telah mati atau tempat di mana bapanya berada tidak diketahui atau jika dan setakat mana bapanya tidak berupaya menanggung nafkah mereka, maka seseoarang yang bertanggungan di bawah Hukum Syarak, supaya menanggung nafkah atau memberi sumbangan kepada nafkah kanak-kanak tersebut.
Tuntutan tunggukan nafkah seseorang anak terpakai mengikut seksyen 69 (Akta 303) dengan pindaan yang sesuai, dan mengikut Hukum Syarak bagi perintah mengenai pembayaran nafkah untuk faedah seseorang anak.
Seksyen 78 (Kewajipan menanggung nafkah kanak-kanak yang diterima sebagai ahli keluarga) (Akta 303) telah menyatakan berkenaan nafkah anak yang dipersetujui oleh seorang lelaki menerima seorang kanak-kanak. Menjadi kewajipan lelaki tersebut menanggung nafkah kanak-kanak itu semasa dia masih seorang kanak-kanak dan Mahkamah boleh membuat apa-apa perintah yang perlu bagi memastikan kenajikan kanak-kanak tersebut.
Tempoh perintah bagi nafkah anak telah dinyatakan didalam Seksyen 79(c) (Akta 303);
(i) Seorang anak perempuan yang belum berkahwin atau yang, oleh sebab sesuatu hilang upaya dari segi mental atau jasmani, tidak berkebolehan menanggung nafkah dirinya; atau
(ii) Seorang anak lelaki yang, oleh sebab sesuatu hilang upaya dari segi mental atau jasmani, tidak berkebolehan menanggung nafkah dirinya.
Perintah nafkah hendaklah tamat apabila anak itu mencapai umur lapan belas tahun, tetapi Mahkamah boleh, atau permohonan oleh anak itu atau oleh seseorang yang lain, melanjutkan perintah nafkah itu supaya meliputi apa-apa tempoh tambahan yang difikirkannya munasabah, bagi mebolehkan anak itu mengikuti pelajaran atau latihan lanjutan atau lebih tinggi.
Kewajipan menanggung nafkah anak-anak tidak sah taraf juga telah temaktub didalam Seksyen 80 (Akta 303) iaitu:
(1) Jika seseorang perempuan cuai atau enggan menanggung nafkah seseorang anaknyamelainkan seorang anak yang dilahirkan akibat rogol, Mahkamah boleh apabila hal itu dibuktikan dengan sewajarnya memerintahkan perempuan itu memberi apa-apa elaun bulanan yang difikirkan munasabah oleh Mahkamah.
Peruntukan di atas dengan jelas meletakkan tanggungjwab membayar nafkah anak tak sah taraf yang tidak mampu untuk menyara dirinya ke atas ibu yang melahirkan anak tersebut. Tiada peruntukan menyebut tentang tanggungjawab bapa yang menyebabkan lahirnya anak tak sah taraf untuk menyara nafkah anak tak sah taraf tersebut.
Comments
Post a Comment